
Dendam lama
"Puan Inspektor Naruko Uzumaki, silakan duduk dulu, kerana Tuan ASP sedang dalam perjalanan. Penerangan akan bermula sebentar sahaja lagi." ujar wanita berpangkat Sarjan kepada Inspektor itu. Inspektor itu hanya tersenyum dan mengangguk namun dia tidak segera duduk di kerusi yang disediakan.
Inspektor Naruko Uzumaki, 29 tahun, berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kriminologi & Psikologi Jenayah, berkhidmat dengan Ibu Pejabat Polis Sunagakure, telah dijemput oleh Ketua Polis Konoha untuk membantu dalam siasatan kes terbaru mereka. Wanita berambut kuning secerah matahari, dan bermata biru sesejuk lautan itu kelihatan agak garang pada mulanya. Namun setelah ditegur dia mesra rupanya. Tegas di wajah hanya kerana tugas dan bukan pada semua situasi.
Sedang dia berdiri menunggu ketibaan Tuan ASP, Naruko mendekati tingkap bilik mesyuarat itu. Dia dapat lihat daripada sini seluruh pusa tbandar Konoha. Perspektif daripada Ibu Pejabat Polis yang terletak di atas bukit itu membuatkan Naruko boleh nampak bumbung sekolahnya dan juga menara berdekatan kawasan rumah lamanya. Dia tersenyum sendirian mengenang kisah lamanya di Konoha. Namun tidak lama kemudian akhirnya sampai Tuan ASP yang ditunggu-tunggu.
"Selamat pagi, saya ASP Yamato, kami amat berbesar hati Puan dapat hadir ke Konoha secepat mungkin," Yamato berkata sambil mereka berjabat tangan.
"Terima kasih Tuan, saya juga berbesar hati dapat memberi kerjasama ini. Impian saya memang sudah lama untuk berkhidmat dengan pihak polis di mana bapa saya pernah berkhidmat, di bandar kelahiran saya." Naruko memberikan Yamato senyuman secerah mataharinya. Bukan dia berniat untuk bermegah-megah dengan statusnya sebagai anak kepada bekas DSP Minato Namikaze, seorang DSP bersara, tetapi sekadar berkongsi cerita. Dia sedar Yamato merupakan antara pegawai junior yang mengenali bapanya dengan rapat dahulu.
"Bagaimana hidup Tuan Namikaze sekarang? Sibuk menimang cucu" tanya Yamato.
"Ayah saya sihat. Cucu belum lagi, nantilah lagi sepuluh tahun mungkin. Tapi dia mudah penat sejak kemalangan itu." Naruko tersenyum lagil apabila bercerita tentang ayahnya.
"Saya doakan yang terbaik untuk ayah dan keluarga kamu ya. Mari duduk, Obito akan memulakan penerangan sebentar lagi."
Naruko berjabat tangan dengan pegawai yang bersama Tuan ASP itu, dia memiliki wajah separuh berparut dan separu seperti biasa.
“Saya Detektif Obito Uchiha, salam perkenalan Inspektor Uzumaki,” ujar lelaki itu.
“Salam perkenalan,” jawab Naruko. Nama akhir Obito itu mirip nama rakan lamanya, mungkinkah mereka bersaudara. Naruko berharap untuk mengetahui lebih lanjut tentang itu nanti, ada banyak masa lagi dia mahu berkenalan dengan pasukan barunya nanti.
Bersama Tuan ASP juga ada seorang lagi pegawai yang datang bersamanya. Namun pegawai itu tidak memperkenalkan diirnya dan malahan telah berada di bahagian belakang bilik itu sambil memegang sebuah fail. Naruko memerhatikan pegawai itu seketika sebelum Obito memanggilnya.
“Puan boleh duduk untuk kita mulakan penerangan,” kata Obito.
“Ah, baiklah. Panggil saya Naruko sahaja. Silakan Tuan," ujarnya dengan ceria sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan ASP Yamato.
Lima belas minit berlalu sejak penerangan tentang 'vigilante' Konoha bermula. Seterusnya Obito menekan butang Play untuk memulakan video temuramah seorang saksi yang pernah berhadapan dengan 'vigilante' itu. Naruko membetulkan posisi duduknya. Dia duduk dengan wajah penuh perhatian dan posisi badannya peka untuk mendengar. Posisi fizikalnya menunjukkan betapa minatnya dia terhadap kes itu. Mungkin saksi kali ini dapat menceritakan dengan lebih tepat bagaimana rupa Sharingan dan Chidori. Dia tidak rasa ilustrasi yang telah ditayangkan Obito sebelum ini mengenai lukisan hasil penceritaan saksi, tepat dengan rupa sebenar vigilante itu.
Video bermula dan muncul visual seorang makcik berambut putih dengan selendang merah jambu menutup rambutnya. Jambul putihnya disisir ke tepi, dan dia sedang memakai baju berwarna kuning cair berbunga-bunga merah kecil. Makcik itu jelas nampak gugup walaupun dia hanya duduk sahaja.
Seseorang bergerak mengalih kerusi di belakang Naruko, lalu Inspektor itu menoleh dan ternampak pegawai yang masuk bersama Tuan ASP sedang bergerak ke hadapan. Pegawai lelaki itu menuju ke arah suis lampu dan menutup lampu bahagian hadapan. Naruko mengalihkan pandangannya kepada paparan video itu semula. Apabila bilik itu gelap, paparan video yang mereka tonton tampak lebih jelas.
"Di mana makcik berada ketika lelaki itu menemui makcik dan pencuri itu?"
"Dia bukan sebarang lelaki nak, dia ialah wira. Dia seorang wira yang kami gelar Sharingan sempena legenda mata merah itu. Makcik berbesar hati dapat bertemu dia. Tapi makcik agak kecewa apabila dia tidak hadir di parti yang jiran kami adakan bagi mengucapkan terima kasih padanya tahun lalu."
"Jadi, di mana makcik ketika itu, makcik boleh terus ceritakan mengenai perjumpaan ya?"
Makcik itu senyum dan tertawa, "Hahaha, Makcik gugup nak. Ini kali pertama makcik disoal polis. Pada malam kejadian tu, makcik keluar rumah sebab elektrik tak ada. Anak menantu makcik tiada di rumah, hanya cucu makcik yang kecil, umur lima tahun dan ada baby lapan bulan. Nak dijadikan cerita elektrik pula tiada pada malam itu, bukan makcik tak bayar bil, tapi sebab tiang depan jalan besar tu tumbang hujan lebat sebelum tu. Jadi dalam gelap dan panas tu, makcik keluar untuk mencari lilin di stor. Makcik punya suami dah lama meninggal dan dialah yang bina stor tu. Dulu makcik dah kata jangan buat stor jauh sangat, tapi dia kata nantilah dia bikin yang lebih dekat. Tapi tak kesampaian..."
"Saya minta maaf mengenai mendiang suami makcik, minta teruskan dan seterusnya," suara pegawai itu berkata.
"Tak apa, dia pergi dalam senyuman," kata makcik itu.
Pegawai tersebut terhenti sebentar dan menyambung, "Dan seterusnya, perompak menyerang makcik?"
"Ya, ya, ketika makcik sedang menyeberang padang kecil belakang rumah kami daripada pintu rumah nak ke stor, masa tu hujan renyai tu, makcik berlari-lari… tapi tiba-tiba ditolak. Makcik jatuh dan orang jahat tu cuba merentap gelang emas makcik yang tiga biji tu. Gelang-gelang tu longgar, dah usang, jadi mudah dia ragut. Tapi itu semua kesayangan makcik sebab hadiah daripada mendiang ibu. Perompak tu cuba tahan makcik daripada meronta, dia tekan makcik ke bawah, tapi makcik meronta-ronta makin kuat. Makcik memang ingat dia nak mencabul makcik, tapi kemudian dia pegang kuat-kuat tangan makcik dan herdik makcik, "Kalau makcik nak selamat, serahkan rantai emas makcik juga."
Makcik itu kemudian mengambil botol air yang disediakan atas meja dan menghirup sedikit air. "Haus," kata makcik.
"Guna cawan makcik, "suara pegawai polis itu menegur. Sebuah cawan ditolak daripada sudut yang tersembunyi daripada pandangan kamera ke arah makcik.
"Tak ape. Makcik sambung." Makcik mengelap bibirnya dengan tisu dan menghela nafas.
"Silakan."
"Jadi makcik berasa marah sangat sebab tak cukup dengan gelang nak rantai pula. Makcik rasa dah sembunyi dah rantai tu jadi orang tak nampak tapi dia nak juga. Itu sahaja harta yang suami makcik hadiahkan, itu pun rantai itu kami dah banyak kali gadai dan tebus. Namun ia sentiasa kembali pada kami, ia simbol susah dan senang perkahwinan kami. Tiba-tiba ini pencuri boleh datang dan minta sesuka hati dia. Tapi kemudian dia tekan makcik kuar, dan makcik terfikir kalau tak bagi rantai tu, apa akan jadi pada cucu-cucu makcik? Masa itu kan cuti sekolah, jadi jiran-jiran ramai tak ada. Anak-menantu makcik, budak-budak tu punya ibu bapa hanya akan pulang dua hari lagi daripada Iwa."
"Dan kemudian?"
"Makcik baru nak buka rantai itu, apabila ada bayang-bayang muncul di belakang kami. Bayang-bayang itu kata, suara dia kasar, "Jika kau sayang nyawa kau, lepaskan makcik itu dan beri balik barang dia. Buat malu melawan makcik tidak berupaya." Lepas tu orang jahat tu melepaskan makcik dan berpusing ke belakang. Makcik pun bangun walaupun sakit, makcik pergi ke arah stor tu. Makcik toleh. Ada orang berjubah hitam, lebih kurang sepuluh meter jauh, mata dia bersinar warna merah."
"Selepas itu apa yang berlaku?"
"Sharingan melompat ke arah pencuri itu sambil menjerit, "Puan masuk ke dalam rumah dan telefon polis." Makcik memang ikut sahaja arahan dia sebab makcik percayakan Sharingan. Ketika makcik berlari masuk rumah, makcik dengar suara lelaki menjerit. Makcik tak berani toleh belakang. Masuk je rumah, makcik terus kunci pintu dan telefon polis. Lepas tu bila makcik jenguk belakang selepas tenteramkan cucu-cucu makcik, polis pun sampai. Bila polis bawa makcik ke belakang hanya ada pencuri tu kena kurung dalam bangsal itu. Sharingan dah tak ada."
"Bagaimana rupa Sharingan itu?
“Makcik tak nampak dia dengan jelas, tapi dia agak tinggi, hampir sama tinggi dengan mendiang suami makcik. Rasa dalam 6 kaki lebih. Dia pakai serba hitam, daripada percakapannya macam orang sini. Tapi tak pastila sebab menantu makcik yang asal Suna pun boleh dah cakap fasih macam orang Konoha. Rambut dia macam tajam-tajam, yang penting mata dia merah. Oh, dan dia seorang lelaki sebab suara dia macho, kasar. Tapi makcik tak nampak Chidori pula. Hanya Sharingan seorang yang ada."
"Ok makcik, kita berehat dahulu sebab dah tiba makan tengah hari. Terima kasih."
"Sama-sama. Makcik harap kamu tak tangkap Sharingan."
"Itu luar bidang kuasa kami makcik, ok silakan kita makan dahulu. Terima kasih kerana sudi bercerita."
Naruko memandang Yamato setelah video itu tamat dan lampu dipasang semula. Lantas dia terus berkongsi pendapatnya mengenai video itu. "Kes yang saya siasat di Suna, vigilante itu mereka gelar Amaterasu. Amaterasu merupakan legenda temapatan Suna, ia kisah mengenai manusia separuh bunian yang bermata merah. Namun vigilante Suna itu beraksi seorang sahaja, sedangkan wira Konoha ini beraksi secara berpasangan dalam beberapa insiden. Saya rasa ada kaitan antara vigilante Konoha dan vigilante Suna. Saya suspek vigilante Suna ialah yang asal dan Konoha ini adalah pengikutnya. Saya perlu menyiasat sama ada mereka orang yang sama, peniru atau mereka ialah tiga individu yang berbeza."
Tuan ASP mengangguk dan berkata, “Kami bersedia untuk membantu apa sahaja yang Puan perlukan.” Dia tidak bercakap panjang lebar kerana dia cukup maklum dengan situasi vigilante di
"Panggil saya Naruko sahaja, Tuan ASP," jawab Naruko mesra.
ASP Yamato tersenyum dan mereka meneruskan penerangan. Obito menbentangkan fakta-fakta kes-kes utama yang menjadi fokus utama bagi pihak polis dalam penyiasatan Selain daripada memang tugas polis, Datuk Bandar Konoha, Asuma Sarutobi juga telah memohon pihak polis agar vigilante ini diberkas secepat mungkin. Pihak Dewan Bandaraya mahu penerangan daripada vigilante itu mengapa mereka memasuki bangunan-bangunan dan tanah kerajaan dan persendirian tanpa permit mahu pun kebenaran lisan. Mereka mungkin masuk secara haram kerana menyelamatkan nyawa, namun kerana identiti mereka yang misteri pihak dewan bandaraya berasa bahawa mereka berpotensi untuk mengancam keselamatan awam.
Setelah lima belas minit berlalu, Naruko menjadi semakin hairan kerana persamaan antara wira Suna dan wira Konoha sangat banyak namun mereka juga tidak serupa. Naruko sudah menghabiskan tiga tahun menyiasat tentang wira Suna secara sambilah, namun wira itu ibarat halimunan dan menghilangkan diri apabila polis semakin menghampirinya. Setakat ini langsung tiada jejak fizikal malahan hanya ada pengakuan saksi sahaja. Semua tiga puluh saksi yang ditemubual memberikan pengakuan yang serupa. Yang menjadi masalah ialah apabila masyarakat awam pula seperti membantu wira Suna itu menghilangkan diri dengan melengah-lengahkan kerja polis. Mereka seperti mahukan wira Suna itu terus beraksi tanpa pantauan daripada pihak berkuasa.
Masalah utama pihak polis Suna ialah untuk memastikan vigilante itu dikenal pasti supaya dia tidak beraksi sesuka hati. Memang vigilante itu banyak membantu polis tetapi siapa dia, apa yang dibuat semua bersendirian dan tidak diketahui oleh pihak berkuasa. Pihak polis tidak mahu vigilante ini melakukan sesuatu mungkin lebih dahsyat daripada menghentikan perompak di kedai emas, kerana jika sesuatu terjadi pada pihak awam dan penjahat, pihak polis dan Datuk Bandar yang perlu bertanggungjawab.
Pada tahun lepas Naruko telah menerima berita bahawa di Konoha juga sudah ada wira seperti di Suna. Pihak polis sengaja merahsiakan kewujudannya selama enam bulan kerana ingin menyiasat sendirian, namun mereka menemui jalan buntu. Masyarakat Konoha juga seperti masyarakat Suna, mereka seperti membantu wira Konoha. Mereka sentiasa cuba melambatkan usaha polis untuk menjejak wira-wira mereka itu. Pihak polis buntu bagaimana untuk memberkas vigilante bergelar Sharingan dan Chidori. Mereka mengambil jalan mudah membelakangkan pihak polis dalam mereka membanteras jenayah. Setelah enam bulan mereka berahsia, akhirnya ASP Yamato berjaya meyakinkan Ketua Polis Tsunade untuk meminta pertolongan Suna, Iwa, Kiri and Kumo untuk perkongsian maklumat. Ketua Polis Suna dengan pantas menghantar Inspektor Naruto ke Konoha.
Pelbagai teori mula berlegar-legar dalam otak Naruko. Dia membuat spekulasi awal bahawa mungkin Sharingan dan Chidori yang membantu Amaterasu. Kerana kadangkala penjenayah yang dikatakan berlawan dengan Amaterasu akan melarikan diri daripada Suna untuk pergi ke Konoha, tetapi tidak lama kemudian dijumpai terikat di pusat bandar Konoha. Para saksi mendakwa mereka nampak Sharingan dan Chidori yang membantu menangkap penjenayah itu. Pada pandangan Naruko nampak seperti mereka bekerjasama.
Sesudah sejam tiga puluh minit mereka bermesyuarat, Yamato mengumumkan mereka akan bermesyuarat dengan Ketua Polis pula isnin itu. Dia berjabat tangan dengan Naruko sebagai tanda perpisahan.
"Semoga Puan Naruko dapati penginapan yang kami sediakan mencukupi, kami mahukan yang terbaik untuk penyiasatan ini. Berehatlah hujung minggu ini sebelum kita mula sibuk."
"Oh, saya sangat berpuas hati tuan. Terima kasih. Saya boleh sahaja menetap di rumah ibu bapa saya tetapi di hotel itu lebih dekat dengan pejabat ini."
"Jika begitu, adakah kamu mahu ke sana nanti? Kami agak mungkin kamu lebih perlukan hotel, bos kamu yang maklumkan begitu."
"Dan kerana itu saya berterima kasih." Naruko senyum, dia tidak langsung penat melemparkan senyumannya kepada Yamato, Obito dan Sai.
"Jika begitu, selamat bertugas. Ada sehari sahaja esok sebelum kita semua selamat berhujung minggu. Saya sudah janji kepada anak saya untuk menonton perlawanan akhir badmintonnya. Kita jumpa Isnin ya."
"Baik tuan," Naruko memberi tabik hormat kepada Yamato dan keluar daripada pejabat itu sambil diiringi Sai.
Mereka turun ke bawah, Naruko tidak pasti bagaimana pegawai polis yang bersamanya di bilik mesyaurat tadi boleh menemani Naruko hingga ke keretanya. Setibanya di kereta, pegawai itu menghulurkan tangan kepada Naruko, "Salam perkenalan, saya Detektif Sai."
Naruko senyum dan menyambut salam, "Saya Naruko Uzumaki. Salam perkenalan." Naruko menawarkan senyumannya kepada pegawai itu.
"Saya tahu, Inspektor Uzumaki menjadi sebutan di Konoha juga. Banyak kisah-kisah kejayaan cik menjadi bualan di sini, kami juga sangat mengkagumi Tuan DSP Namikaze."
"Oh ya ke?" wajah Naruko bertukar merah jambu dengan pujian itu. "Saya hanya menjalankan tugas seperti diarah sahaja." Naruto tersenyum simpul.
"Adakah anda berasa kembang bontot ketika ini? Saya pasti anda berasa sangat bangga menjadi bualan polis-polis seantero daerah."
"Apa kamu kata?" Naruko berasa marah. Sebeanrnya dia pelik dengan ayat-ayat Sai. Memuji atau mengutuk sebenarnya?
Sai berkata lagi, “Cik Uzumaki, mungkin menggunakan nama Namikaze lebih sesuai di sini, supaya cik lebih mudah dikenali dan dihormati. Tak salah menumpang nama ayah. Baiklah, saya naik dulu kerana masih ada kerja lagi. Ada sejam sebelum syif saya habis." Sai berlalu pergi dengan senyuman yang pelik terukir di wajahnya.
Naruko hanya berdiri kaget di luar keretanya sambil melihat Sai pergi. Di kepalanya terngiang-ngiang sindiran tidak berasas Sai. "Sudah kenapa? Tiada adabkah?" dia mendengus sambil mencari kunci keretanya.
Tiba-tiba perutnya berbunyi. Naruko baru sedar dia hanya sempat makan ramen dan minum kopi sahaja pagi tadi. Semasa sesi taklimat tadi, dia juga enggan makan sarapan di pejabat Yamato kerana terlalu teruja untuk mengetahui kisah tentang Sharingan dan Chidori. Dengan perut menyanyi kelaparan, dia memasuki keretanya dan terus menuju ke kedai ramen kegemaran bapanya.
Dalam otaknya sudah memilih-milih, menu ramen mana yang dia mahukan. Udang pastinya yang besar-besar, belum lagi dengan tambahan naruto kegemarannya. Dia tergelak memikirkan namanya yang hampir sama dengan naruto itu. Kereta kuning compact miliknya menyusuri bukit, dan keluar dari perkarangan balai polis itu. Walaupun dia sudah lama tidak menjejak kaki ke Konoha namun dia ingat jalan menuju ke pusat bandar Konoha tempat asal ibu bapanya.
……………………………………………………….
Daripada sudut tunduk sebuah menara, sepasang mata merah dan sepasang lagi mata, sebelah merah tetapi sebelah hitam sedang memerhatikan kereta kuning itu dipandu.
Lelaki lebih tua, pemilik mata merah dan hitam, berambut putih memilih untuk bersuara memecah sunyi. "Rakan lama kamu dihantar untuk menjejak kita, adakah kamu akan berhenti sebentar untuk menghilangkan jejak?"
Lelaki lebih muda tergelak pendek. "Hnn." Dengan suara penuh emosi dia berkata, "Kali ini biar mereka jumpa kita. Ini masa untuk kita menjerat Madara. Biar polis terlibat sama jua."
"Baiklah, aku harap kau tahu apa yang kau lakukan." Lalu si lelaki berambut putih terus beredar.
Si mata merah bertukar mata hitam, warna mata asalnya. Sambil wajahnya mendongak ke arah langit dia berkata sendirian, "cerita lama akan berulang kembali. Nama keluarga Uchiha akan bersih semula."
Pada hari berikutnya, hari Jumaat, Naruko Uzumaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Konoha tepat pukul 8.00 pagi. Semua urusan pendaftaran telah berjalan dengan lancar, sebahagian besarnya kerana kini semua pendaftaran dilakukan secara digital. Maklumat Naruko boleh diakses dengan hanya kata laluan sahaja tanpa mengisi borang seperti dahulu. Sementara itu Detektif Obito membawanya melawat bahagian-bahagian di ibu pejabat itu. Mereka bertemu dengan para pegawai yang terlibat dalam penyiasatan vigilante mata merah ini. Setelah melawat semua bahagian, Naruko mengunjungi bahagian forensik pula. Dia ingin melihat video-video kamera litar tertutup, atau CCTV yang merakam kawasan-kawasan di mana vigilante bertopeng dilihat.
Naruko diberi kelulusan untuk memeriksa bukti cctv. Perkara yang sama juga terjadi pada semua rakaman di Konoha, kedua-dua kelibat vigilante itu langsung tidak kelihatan. Di Suna tidak banyak rakaman video kerana vigilante itu kerap dilihat di kawasan kebun dan hutan berbanding di Konoha, mereka hadir sehingga ke pusat bandar.
Selain itu ada juga kamera yang rosak pada hari kejadian. Naruko tertanya-tanya adakah vigilante ini telah merosakkan kamera-kamera berikut untuk menyembunyikan diri mereka? Dia berharap mereka tidak berbuat begitu kerana ini akan menyusahkan diri mereka jika tertangkap. Merosakkan harta awam atau pihak swasta bukan jenayah ringan. Namun tuduhan itu tidak ada bukti kerana semua cctv yang rosak menunjukkan tiada bukti ia dirosakkan manusia.
Dia menghabiskan beberapa jam menonton video itu di bilik tayangan. Selesai menonton dia kembali ke pejabat sementara yang akan digunakan buat sementara waktu. Naruko duduk, dan membuka laptopnya untuk mula menelaah laporannya yang lepas.
"Nah, ini daripada kami para detektif. Ini ialah hadiah untuk kamu. Kami berharap kerjasama dengan cik akan berjalan lancar. Malangnya Detektif Shino, Sarjan Chouji dan Sarjan Hinata hanya akan hadir esok pagi, mereka masih berada di Iwa untuk kursus. Tapi mereka pesan pada saya untuk berikan ini pada cik."
Naruko melihat Sai yang datang bersama sebuah beg barang. Dia teka beg itu berisi makanan kering, "Ah, terima kasih. Saya juga berharap dapat berjumpa mereka nanti."
"Malam ini, ada keluar dengan siapa-siapa ke Inspektor Uzumaki? Esokkan hujung minggu."
"Detektif Sai, panggil saya Naruko sahaja. Panjang sangat nak sebut dengan pangkat-pangkat sekali."
Sai tersenyum sahaja, Naruko masih keliru dengan senyuman Sai kerana nampak sangat dibuat-buat. Tapi setakat ini dia tiada sebab utama untuk menjauhi pegawai itu. Mungkin di masa akan datang jika lelaki itu ada berlaku kurang ajar kepadanya, mungkin dia akan bertindak kasar juga, namun buat masa sekarang tidak perlu. Tetapi orang seperti Sai membuatkan Naruko berfikir banyak kali sama ada dia perlu berlaku jujur atau memberikan jawapan samar-samar. Dia mengambil keputusan untuk bersikap jujur. "Saya melepak di bilik sahaja, maklumlah penat perjalanan semalam ke sini pun masih terasa lagi."
Sai tergelak, "Ya, saya nampak cik pun bukan secergas wanita aktif. Ada sedikit berisi berbanding Hinata. Mungkin awak perlu ke gym untuk cergas, saya boleh cadangkan beberapa gym."
Naruko terus rasa ingin menampar Sai ketika itu juga, namun dia harus bersikap profesional. Hakikatnya juga dia sudah berisi berbanding dahulu. Penyiasatan kali ini dia banyak duduk berbanding mengejar penjenayah dan suspek. Dia menahan rasa marahnya dan memilih untuk bersikap neutral. "Saya selalu jogging sahaja. Awak bukan ada kehidupan sendiri untuk menyibuk pasal orang lain ke Sai?" Akhirnya terkeluar juga ayat sindiran. Dia bukan anak gadis Kushina Uzumaki jika tidak bereaksi tajam seperti ini.
Sai senyum, "Tiada. Lelaki bujang macam saya ini banyak habiskan masa di luar rumah. Tiada suri yang sempurna untuk melayan lelaki banyak kerenah macam saya ini. Rakan-rakan sepejabat ibarat adik beradik yang saya tak penah ada, jadi apa salahnya tegur menegur. Cik memang nampak tidak cergas pun.”
Naruko memahami kerjaya detektif polis seperti Sai ini. Mereka bekerja berdasarkan kes, jadi syifnya boleh berpanjangan selama 2-3 hari. Bagaimana pula dengan pegawai sepertinya yang ramai lelaki pandang jelek kerana terlalu workaholic sehingga asyik lupa diri. Ada yang memandang mereka sebagai kurang komitmen kepada rumah tangga. Tapi itu bukan sebab utama kebanyakkannya masih bujang.
Naruko melihat sebuah poster yang diselit di atas meja yan ditumpang buat sementara waktu. Dia tahu ketika ini mereka tidak sibuk kerana Datuk Bandar telah memohon agar pihak polis menumpukan konsentrasi kepada sambutan Ulang Tahun Metro Konoha yang ke-15. Kerana itu juga Ketua Polis meminta pertolongannya kerana mahukan pegawai tambahan untuk memantau Metro Konoha.
"Mungkin kita boleh keluar bersama, saya boleh tunjukkan gym untuk wanita sahaja. Mungkin cik malu nak beriadah di kalangan lelaki,” Sai menjawab. Mata hitamnya memandang tepat ke arah Naruko.
"Uhhh?" Naruko tergamam lagi. Bukan selalu ada orang mengajak dia keluar, dan oleh manusia selurus ini pula. Gaya Sai bersosial sangat canggung, dan ayat-ayatnya boleh buat orang tersinggung, tapi Naruko tidak terdesak untuk terus melabel Sai sebagai kurang ajar.
"Mungkin boleh, kita ajak yang lain-lain sekali," ujar Naruko.
"Baiklah, saya perlu menyimpan semula video-video yang dah cik tonton tadi. syif saya dah hampir habis, jumpa esok pula."
Naruko memandang Sai melambai padanya sebelum pegawai itu mengangkat kotak yang mengandungi video-video cctv itu dan berlalu pergi.
"Ok," ujar Naruko. Dia memeriksa waktu sekarang dan tanpa dia sedar masa sudah menganjur ke pukul enam. Naruko baru sedar bahawa hanya tinggal dia dan Sai sahaja di dalam pejabat itu sejak tadi. Pegawai polis syif pagi semua sudah beredar pulang.
Naruko mengingatkan dirinya tentang perancangan dirinya untuk malam itu. Semalam dia ada berbual melalui teks dengan ibunya, Kushina yang memberitahu ada kedai Ichiraku Ramen dua blok daripada hotelnya. Jika dia rajin untuk memandu, mungkin dia boleh pusing-pusing bandar untuk melihat kedai Ichiraku atau kedai-kedai lain di sekitar hotel. Dengan motivasi untuk mencari Ichiraku ramen kerana pagi ini dia hanya makan ramen segera, Naruko mengemas laptopnya dan mula beredar daripada pejabat. Dia sempat menegur beberapa pegawai syif malam yang bertugas di tingkat bawah sebelum pulang ke hotel.
Kisah Sharingan dan Chidori terus dilupakan buat sementara waktu. Naruko memahami bahawa kadangkala membawa kerja pulang ke rumah tidak baik untuk dirinya, demi tugas dia juga harus melupakan tugasnya bila sampai waktu untuk berehat. Dia ada dua hari untuk bersiap sedia sebelum bertugas dengan gigih.
Malam itu di Metro Konoha.
Sejak tamat pengajian di akademi polis, Naruko sudah jarang makan ramen. Memang ramen ialah makanan wajibnya ketika zaman belajar dahulu, malahan rakan-rakannya seperti Shikamaru, Gaara, Temari dan juniornya Konohamaru dan hampir 89 peratus pelatih polis lain juga makan ramen kerana ia mudah disediakan. Soal suka atau tidak pada ramen tidak dipedulikan kerana makanan itu ringkas dan murah. Lagipun Konohamaru ada menyimpan berkarton-karton ramen segera dan selalu menjualnya kepada Naruko dengan harga borong. Mungkin dek kerap memakan ramen di akademi polis dia jarang menyentuh ramen semasa sudah bekerja.
Apabila meningkat dewasa, Naruko hanya layan makanan segera apabila tidak sempat makan atau ketika merindui rasa ramen yang penuh nostalgia. Dia juga mulai sedar setelah dibebelkan oleh Kushina banyak kali, bahawa sebagai pegawai polis dia perlu makan makanan seimbang. Kushina memang menyediakan makanan seimbang untuknya apabila dia pulang ke Konoha.
Malam itu, Naruko memilih untuk memakai t-shirt kegemarannya untuk keluar ke bandar. T-shirt oren yang mempunyai logo pusaran air di hadapannya dibeli lima tahun lalu ketika kali terakhir dia kembali ke Konoha. Oleh kerana dia khuatir malam mungkin sejuk, Naruko turut memakai kot labuh warna putih paras lutut. Kot kegemarannya itu agak mahal harganya namun kerana ia dibeli dengan duit kemenangan Anugerah Cemerlang, maka Naruko tidak kisah langsung.
Semasa dia membongkok untuk memakai but paras buku lali, tiba-tiba Naruko teringat sesuatu.
"Eh hampir lupa pula," ujar Naruko kepada dirinya.
Lalu dia berjalan ke arah meja hotel dan menarik laci meja itu, dalam laci itu ada memo pad dan kertas. Naruko duduk sebentar untuk menulis senarai barangan yang perlu dibeli, nasib baik dia tidak lupa tadi. Menyediakan senarai barang ialah satu cara perbelanjaan berhemah. Selalunya Naruko suka shopping barang yang tidak perlu dan ketika hujung bulan dia merana tidak cukup wang. Tatkala usianya masuk 30 dan ibu bapanya sudah meningkat umur, Naruko tahu dia harus memikirkan masa depan. Dia merancang untuk membeli rumah di Konoha di masa akan datang selain ingin mewujudkan simpanan untuk masa hadapan. Oleh itu dia mula memaksa dirinya berjimat cermat bermula sekarang.
Setelah selesai menyenaraikan barangan yang perlu dibeli, Naruko melipat kertas itu dan menyimpannya di dalam poket jeans. Dia hanya bercadang untuk bawa dompet, kunci kereta dan kad hotel sahaja malam itu kerana dia yakin dia tidak akan pergi jauh melainkan dia hendak ke restoran Ichiraku jika sempat. Melihat jam tangannya lagi, Naruko keluar daripada bilik hotelnya tepat pukul 8.15 malam.
Sebaik sahaja keluar daripada pintu masuk hotel dia disapa oleh Bell Boy hotel itu.
"Selamat malam Cik Uzumaki," ujarnya.
"Selamat malam juga, habis kerja pukul berapa?"
"Pukul 3.00 pagi Puan, hari ini kami menerima banyak tempahan sempena Ulang Tahun yang akan diadakan tiga hari lagi."
"Oh ya, saya hampir lupa pasal tu. Selamat bertugas macam tu," Naruko melemparkan senyuman sambil melangkah keluar.
Naruko meninggalkan kawasan hotel itu dan menuju ke blok sebelah. Sedar-sedar dia sudah berjalan sejauh 200 meter sebelum melintas jalan untuk ke sebuah pasaraya yang terletak di seberang blok itu. Sepanjang perjalanannya Naruko mendapati semua keperluan ada di keliling hotel yang didiaminya. Sebut apa sahaja ada, malahan gym pun ada. Jika Naruko teringin untuk mandi spa atau berurut pun ada. Dia memikirkan kemungkinan untuk dia bertugas di Konoha, pasti menarik kerana dia mendapati Metro Konoha sangat tersusun kedai-kedainya. Namun jika dia perlu juga memandu kerana Konoha tidak ada keretapi daripada bandar ke kawasan rumah, yang sesuai untuk disewa. Naruko mungkin perlu tinggal di rumah lama ibunya jika dia mahu tinggal lama di sini.
Sambil mengorak langkah, Naruko mendapati daripada satu segi Metro Konoha tidak berubah banyak sejak sepuluh tahun lalu. Namun ada beberapa kedai-kedai baharu contohnya seperti pasaraya itu. Daripada sudut hiasan juga berbeza kerana kali ini Dewan Bandaraya telah menghiasi setiap tiang lampu dengan lampu-lampu pelbagai warna, pastinya sempena Majlis Ulang Tahun itu nanti.
Sedang Naruko mahu melintas jalan tiba-tiba dia terpandang satu papan tanda kedai tertulis Ichiraku Ramen, ketika itu dia terus tersenyum lebar. Nampaknya dia tidak perlu memandu kereta jauh-jauh untuk mencari mana restoran Ichiraku kerana sudah ada sebuah cawangan di hadapan matanya. Tatkala itu juga perut Naruko berbunyi-bunyi kelaparan. Barulah Naruko sedar dia tidak makan apa-apa sejak tengah hari tadi. Tanpa membuang masa dia melintas jalan terus ke Ichiraku Ramen.
Pakcik yang mengendalikan restoran itu bukan Ichiraku, tapi dia ada beritahu Naruko bahawa Encik Teuchi Ichiraku menjaga kedai utama mereka yang terletak lebih kurang lima kilometer jauhnya. Cawangan baru itu diwujudkan kerana ramai pengunjung ingin menikmati ramen di kala waktu makan tengah hari dan mereka kata tidak sempat untuk keluar memandu ke restoran Ichiraku utama.
Naruko memakan enam mangkuk ramen pelbagai perasa. Dia sudah memeriksa bahan-bahan yang digunakan dan semua lulus ujian Kushina. Naruko senyum sambil menghirup mangkuk terakhir ramennya. Selepas sejam dia duduk dan makan, sambil berborak lagi, dia perlu segera ke pasar raya tersebut sebelum ia tutup pukul 10.30 malam nanti.
Selepas membayar bil, Naruko mengangkat kaki dan kembali melintas jalan. Jalan di situ agak sibuk dan ada beberapa orang lain yang ingin melintas jalan, dan antara mereka ada yang sudah menekan butang pelintas kaki. Sebaik sahaja lampu hijau muncul, Naruko mengikut hayunan langkah anak kota Konoha melintas jalan raya.
Sasuke sedang memandu kereta mewah berwarna hitamnya ketika dia melalui hadapan sebuah hotel. Sedang dia mahu lalu tiba-tiba lampu isyarat bertukar hijau kerana tiba masa untuk pejalan kaki melintas jalan. Walaupun jejaka berambut hitam itu sudah terlambat untuk ke majlisnya namun dia mengikuti undang-undang jalan raya dan terus berhenti memerhatikan manusia melintas jalan.
Tiba-tiba muncul gadis berambut kuning diikat ekor kuda sedang melintasi keretanya, Sasuke sangka dia aamt mengenali pemilik rambut berwarna sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila pemilik rambut kuning itu memakai t shirt oren dengan simbol whirlpool di belakangnya. Sasuke segera menurunkan tingkap pintu keretanya dan senyum melihat kelibat wanita itu.
Sasuke tidak sangka langsung akan menemui rakan lamanya di sini. Mereka dahulu amat rapat, walaupun pada mulanya mereka asyik bertelagah. Pada tahun terakhir mereka sebagai senior, Sasuke, Naruko dan Sakura diberikan gelaran "Kumpulan Pop paling berjaya." Gelaran main-main untuk majalah sekolah sahaja.
Sasuke memanggil, "Naruko, kau ke tu?"
Gadis itu berpusing dengan pantas dan memandangnya dengan wajah terpinga-pinga. "Haa, siapa panggil nama aku?"
"Akula, di sini!" Sasuke tergelak melihat Naruko tercari-cari siapa yang memanggilnya, walhal Sasuke berada betul-betul di hadapannya. Tanpa membuang masa, Sasuke melompat keluar dari keretanya dan mendekati Naruko.
"Wei, aku la. Boyfriend tak jadi kau," Sasuke menyergahnya setiba sahaja dia di hadapan Naruko.
Naruko hampir terjatuh ke belakang, namun Sasuke dengan cepat merentap lengannya supaya dia tidak terjatuh. Entah bagaimana, tiba-tiba Naruko terjatuh pula dalam dakapan Sasuke, habis merah padam mukanya kerana kali ini jejaka itu memeluknya pula untuk menstabilkan diri mereka berdua agar tidak jatuh.
Namun dengan segera Narukoo menolak dirinya menjauhi Sasuke, dia tidak sanggup menjadi bahan gossip media Konoha kerana ditangkap bergambar dengan anak bongsu bilionaire itu. Cukup-cukuplah dia dipandang rendah kerana imejnya yang sukakan warna-warna terang, yang mana dianggap tidak seiring dengan identiti serius seorang inspektor. Jika dia masuk ruangan gosip, pasti akan menjadi buah mulut para pegawai Polis Konoha yang tidak mengenalinya.
Bagi menjadikan keadaan lebih normal, Naruko mula mengutuk Sasuke dengan lantang.
"Aha! Jantan tak guna, apa kau buat kat sini? Buat aku nampak bodoh ya?" Naruko segera menumbuk bahu jejaka itu, namun di senyumannya lebar.
Sedang mereka asyik membuat reunion di tepi jalan, sebuah kereta yang berada di belakang kereta Sasuke terbuka tingkapnya dan pemandunya mula menjerit marah.
"Hei orang kaya, ni bukan jalan mak bapak ko sorang nak berhenti sesuka hati!" Makcik itu terus menghentam enjin keretanya sebelum menghalakan keretanya untuk memotong kereta Sasuke dan meninggalkan jalan raya itu.
"Haa, tulah kau Sasuke, memang daripada dulu suka buat sesuka hati. Ko nak aku saman kau atas kesalahan trafik?"
Sasuke memandang Naruko, "Oh, jadi kau memang pegawai polis macam mereka katakan, aku memang tau kau akan merealisasikan idea ko."
"Apa-apa jelah. Jom, kita beredar daripada sini sebelum ada orang kecoh panggil polis lain."
"Yelah, yelah. Jom. Naik kereta aku."
"Aku nak pergi beli barang la ni," ujar Naruko sambil dia diheret Sasuke menuju ke keretanya.
"Hmmm. Yelah."
Mereka menaiki kereta Sasuke dan berlalu pergi. Selepas lima minit Naruko menjadi hairan.
"Sas, ini jalan menuju keluar bandar. Kita nak ke mana?" Naruko memandang tepat wajah Sasuke.
Sasuke pula tidak mengalihkan perhatiannya daripada jalan raya namun tersenyum sinis dan berkata, "Kita akan ke rumah Sakura."
"Hah, buat apa?"
"Reunionlah apa lagi? Ko diam sahaja dan nikmati perjalanan ini."
"Haaa? Berhentikan aku tepi jalan jela. Aku ada urusan lain."
Sambil tergelak sinis Sasuke memecut keretanya menuju ke arah rumah Sakura.
"Rilekslah, kau tetap cantik seperti dahulu."
Naruko tergamam dan membiarkan Sasuke membawanya ke rumah rakan rapat mereka dahulu. Memang dia belum bersedia, dia pulang ke Konoha untuk bekerja, bukan untuk berlibur!