
Realiti
Naruko terjaga seiring dengan deringan jam locengnya. Dia bangkit daripada katil dengan perlahan dan menggeliat sepuas hatinya, menolak tangannya ke atas dan ke tepi. Badannya terasa agak kejang mungkin kerana penat perjalanan ke Konoha tempoh hari, dan kemudian parti malam semalam lagi, semua penat belum habis lagi agaknya. Gadis itu lalu mencapai jam loceng tadi untuk memeriksa waktu. Dia terjaga tepat jam 6.30 pagi dan tiba masa untuk memulakan hari baru.
Naruko turun darpada katil, niat di hatinya ingin ke bilik air untuk mencuci muka dan menggosok gigi dan kemudian merancang aktiviti hariannya. Sejurus kakinya menyentuh lantai papan berlamina, dia terpandang sepasang kasut tumit tinggi di tepi pintu masuk bilik hotelnya.
Peristiwa malam semalam terus menerpa memasuki kotak memorinya. Dia telah mengunjungi rumah Sakura bersama Sasuke secara paksa, bertukar kepada guan, pakaian yang lebih sesuai dengan tema malam itu. Kemudian dia dan Sakura juga telah membida Sasuke. Setelah selesai Sasuke menghantar dia pulang dan Sasuke telah mengucup pipinya.
Jantungnya berdegup laju apabila Naruko teringat perkara terakhir itu. Dia menutup matanya dan mendengus, “Apa yang terjadi sekarang?”
Naruko membuka matanya semula dan teringat bahawa hari ini ialah Sabtu dan kes yang disiasat itu hanya akan diuruskan mulai hari Isnin dan dia menarik nafas lega. Namun tidak berapa lega juga, jaketnya!
Patutlah hatinya tidak berapa tenteram. Semalam dia terlupa pula menukar baju sebelum meninggalkan parti. Tambahan pula tiada sesiapa pula yang mengingatkannya untuk menukar semula kepada bajunya semalam, mahu pun mengambil semula baju-bajunya itu. Dia fikir jika dia datang ke rumah Sakura pada pagi ini selepas sarapan pasti mungkin dia masih berkesempatan untuk mendapatkan bajunya. Dia berharap gadis bernama Miranda itu menyimpan bajunya dengan cermat. Sayangnya Naruko lupa untuk mendapatkan nombor telefon Sakura maka dia tidak boleh menelefon rakannya itu seawal ini sebelum datang. Dia boleh mendapatkan nombor daripada Sasuke, tapi.... apabila mengenangkan peristiwa semalam dia terus berasa betapa lecehnya mahu mendapatkan kembali bajunya. Tapi mahu tinggalkan pula dia juga tak rela.
Naruko melihat jam lagi, dan mendapati lebih baik dia bersiap sahaja dahulu dan berfikir lebih lanjut tentang bagaimana dia nak dapatkan balik bajunya daripada duduk sahaja pagi ini tanpa jalan penyelesaian.
Dia terus mencapai tuala. Lebih cepat dia mandi lebih mudah dia merancang strategi untuk mendapatkan bajunya.
Naruko sudah siap berkemeja T kuning dan berseluar jeans, dia hanya perlu mencapai beg dan kaca mata hitamnya sahaja sebelum keluar untuk bersarapan. Dia tidak berjaket kerana jaketnya tertinggal.
Ah, leceh. Getus hatinya.
Tetapi persoalannya bagaimana dia mahu menghubungi Sakura pagi ini dengan cara lain? Dia amat menyayangi jaket yang dipakai semalam dan dia tidak mahu membeli jaket lain pada masa ini. Naruko mengeluh lagi, dia tidak mahu menghubungi Sasuke jika boleh... namun jejaka itu sahaja yang mudah untuk dia hubungi pada waktu ini.
Naruko keluar daripada bilik hotelnya dan keluar untuk menaiki kereta bagi mencari tempat untuk bersarapan. Sejurus dia menjejakkan kaki keluar daripada bangunan hotel itu dia terus memakai kaca mata hitamnya. Dia berharap dapat mencari tempat sarapan yang menyediakan ramen pada pagi ini, dalam keadaan perasannya kacau bilau selalunya ramen dapat menyelesaikan kemelut dalam hati.
“Naruko!” jerit seseorang sebaik sahaja Naruko menghampiri keretanya. Dia menoleh ke belakang untuk melihat siapa di Konoha yang masih mengenalinya lagi. Banyak pula rakan lama yang terserempak dengannya.
“Hmm?” Naruko bertanya sambil memusingkan badannya. Daripada seberang jalan, Sasuke sedang memanggilnya. Dia berpakaian kemeja hitam dan jeans biru dengan sepasang jaket merah gelap diikat di pinggangnya. Dia mengangkat kaca mata hitamnya ke atas kepala dan melambai pada Naruko.
“Jom, aku belanja sarapan.” ujar jejaka itu.
Naruko tahu dia tiada alasan kukuh untuk menolak pelawaan Sasuke, lalu dia memusingkan badannya untuk berjalan ke arah Sasuke.
“Kau tunggu aku?”
“Ye, tuah aku nampaknya kau keluar ketika aku masih setia menunggu kau untuk sarapan,” ujar Sasuke dengan bangga.
Naruko terfikir sejak bila pula Sasuke rajin menanti orang lain untuk makan. Selalunya dia akan makan sendiri jika Sakura dan Naruko ada hal lain ketika waktu sekolah. Tetapi makan seorang bukan masalah pada Sasuke, malahan stalker dan peminatnya cepat sahaja akan bertenggek di meja tempat Sasuke makan jika mereka sedar bahawa Sasuke keseorangan pada hari itu.
“Hmm, mengenai semalam?” Naruko cuba memulakan kata.
“Ah jom naik kereta aku baru kita borak,” Sasuke terus menoleh ke arah keretanya dan masuk ke dalam.
Naruko mengerutkan dahinya sebelum masuk ke tempat duduk penumpang hadapan.
“Mengenai semalam, kenapa kau cium aku?” ujar Naruko.
“Ah, pasal itu. Maafkan aku jika kau berasa tidak selesa. Aku cuma berasa kau sangat cantik dan aku mahu hargai kau, lagipun kita kawan lama,” Sasuke bersuara. Seperti ada nada bersalah dalam suaranya, teka Naruko.
Naruko terkesan dengan nada bersalah itu dan terus perasaan dilemma dan keliru terhadap Sasuke berubah sedikit. Dia kasihan pula apabila Sasuke berasa begitu, “Tidak, bukan macam itu.”
“Jadi kau tak kisah aku cium kau?” Sasuke mengusik. Kali ini suaranya seakan gembira, mungkin kerana Naruko tidak memberi reaksi negatif padanya mengenai ciuman itu.
Tiba-tiba perutnya berbunyi, memang Naruko amat lapar. “Ke mana kita mahu makan?” tanyanya pada Sasuke. Dia berharap yang Sasuke akan memilih kedai yang dekat.
“Ichiraku Ramen la, mana lagi. Tapi cawangan yang satu lagi, di sana ada sarapan disediakan.”
“Baiklah.”
Mereka duduk dalam sunyi selama lima minit seterusnya sebelum Naruko bersuara. “Aku bukan tidak suka, aku tak tau apa yang aku rasa ketika ini. Kita kawan rapat, kita tak pernah berpelukan, maksud aku, aku dan kau... Kita jarang bersentuhan. Dengan Sakura lain kerana dia jenis selesa bersentuhan…” Naruko teringat sikap Sakura yang sentiasa menzahirkan perasaannya dalam bentuk fizikal. Jika dia tidak puas hati, dia akan memukul mereka yang dekat terutama Naruko, tapi jika dia gembira dia akan memeluk rakan-rakannya pula, selalunya Naruko dan kadang-kadang Sasuke jadi mangsa.
Sepuluh saat berlalu sebelum Sasuke menjawab, “Ye kita kawan rapat tapi aku rasa kita dah cukup dewasa untuk jadi lebih daripada kawan… aku gembira berjumpa kau. Aku tak sangka aku ada perasaan begini tapi sejak semalam, lagi-lagi apabila melihat kau tiba-tiba di tepi jalan setelah bertahun-tahun, aku juga rasa perasaan ku bukan sekadar kawan...”
Naruko merasakan hatinya yang pada mula-mula tadi keliru, kini tiba-tiba berasa hangat. Adakah Sasuke baru berkata bahawa dia sukakan Naruko?”
“Kau suka aku?” sebelum dia dapat menyusun tutur katanya, ayat-ayat berikut telah terkeluar dahulu.
Kenapa dengan aku ni? Getus Naruko pada dirinya.
“Susah aku nak terangkan Naruko. Aku mahu salahkan usia aku yang meningkat tua tapi itu tak benar.”
“Aku pernah meminati kau dahulu tapi kini… aku anggap kau kawan baik aku.” Naruko mahu jelaskan pada Sasuke perasaannya dahulu, ia cuma sebentar tapi mungkin ia dapat membantu keadaan mereka, situasi yang belum ada nama ini.
Sasuke memberhentikan keretanya di tepi jalan. Naruko melihat ke luar dan mendapati bahawa mereka berada tidak jauh daripada Ibu Pejabat Polis yang dia kunjungi beberapa hari lalu.
“Serius?” ujar Sasuke. Badannya dipusing ke arah Naruko. “Kenapa kau tidak pernah beritahu selama ini?”
Naruko mengerutkan wajahnya, “Aku suka kau dulu tapi perasaan itu aku kuburkan setelah aku terdengar beberapa gossip mengatakan kau ada kelab peminat yang dipenuhi gadis garang.”
Sasuke memerhatikan keadaan diluar pula pada masa ini. Mungkin dia sedang mengingati zaman semasa mereka bersekolah dahulu.
“Oh begitu. Jadi betullah apa Sakura katakan, tiada gadis yang akan berani cuba menjadi teman wanita aku kerana mereka.”
Kemudian pandangannya disalib ke arah Naruko. “Tapi sekarang bagaimana?”
“Macam mana aku nak jawab soalan kau tu Sasuke, aku kurang pasti," jawab si gadis.
Sasuke mencapai tangan Naruko yang sedang dalam berada dalam genggaman dan menariknya lembut. Dia kemudian membuka genggaman tangan Naruko itu dan memasukkan jari-jemarinya di celahan jari-jari Naruko.
“Aku tau kita kawan rapat, tapi mungkin kerana kita disatukan oleh Sakura dulu. Mungkin sebab itu jadi sukar untuk bergerak daripada status kawan kepada status yang lebih istimewa. Aku nak ucap I love you pada kau tapi kerana aku pasti ini bukan perasaan cinta, macam tak.sesuai. Tapi aku memang suka kau. Aku nampak kau di tepi jalan semalam dan pelbagai perasaan tercetus dalam hati aku. Aku pun pernah suka pada kau, tapi pada masa tu aku takut kau hanya menyukai aku kerana aku dianggap popular. Dulu, aku tak mahu kau suka aku hanya kerana semua orang suka aku. Aku benci orang fake. Kemudian kita berkawan rapat pula.
Naruko bukan pulang ke Konoha untuk mencari persahabatan lama atau cinta. Dia tidak perlukan semua ini dan terdetik di hatinya mungkin cinta akan membuatkan dia hilang fokus terhadap kerjayanya, mungkin juga akan mengganggu siasatan terkininya. Namun seperti Sasuke telah katakan, pada usia begini dia perlu memikirkan hal lain seperti dirinya, kerjaya dan perancangan masa hadapan sebagai individu. Persoalan utamanya adakah dia sudah bersedia untuk berkongsi hidup dengan orang lain?
“Apa yang kau fikir Naruko?” Sasuke bertanya. Mereka masih lagi di tepi jalan sedang memikirkan perasaan masing-masing.
“Macam-macam perkara,” ujar Naruko.
Sasuke tertawa walau di wajahnya penuh tanda tanya. “Aku yang membuatkan kau lambat bersarapan, jom kita terus ke Ichiraku. Mungkin kita boleh berbincang lebih tenang di sana
“Hmmm…” kata Naruko. Kereta Sasuke meluncur laju ke arah kawasan yang Naruko kenali sebagai berdekatan dengan kawasan rumah lamanya. Mungkin ramen dapat menenangkan hatinya yang tidak keruan.
_______________________________________
Setelah selesai tiga mangkuk ramen baru Naruko berani memandang wajah Sasuke dengan penuh keyakinan. Mereka memilih untuk duduk di sebuah sudut yang tersembunyi daripada pandangan umum. Restoran itu kosong pada waktu pagi, mungkin kerana tidak ramai penduduk Konoha yang makan ramen pada waktu pagi namun tidak lama kemudian sekitar pukul 9.00 pagi seorang pelanggan memasuki premis itu.
Naruko mengalihkan pandangan ke arah pintu masuk apabila pintu utama kedai itu dibuka. Loceng yang digantung pada bahagian pemegang dalam berdenting menandakan ada orang lagi masuk. Dia lihat ada lebih daripada seorang rupanya yang mahu bersarapan di Ichiraku pada waktu pagi begini.
“Apa pangkat kau dalam polis?” Sasuke bertanya.
“Inspektor.” ujar Naruko.
“Susahkah menjadi pegawai polis? Pernah kau rasa hendak berhenti?”
“Susah pada mulanya, tapi apabila dapat menyelesaikan sebuah kes… Kadang-kadang kes tak selesai pun tapi apabila lihat wajah-wajah mangsa atau waris gembira kerana mendapat jawapan… aku rasa berbaloi semua kesusahan itu.”
“Aku respek kau sebagai polis Naruko, aku hanya menggalas cita-cita keluarga aku sahaja. Namun aku…” Sasuke melihat mangkuk ramen keduanya dan mengerutkan dahi. Dia tidak mampu makan ramen sama banyak macam Naruko.
“Kau ada syarikat besar, kau sihat, apa lagi kau mahukan?” Naruko bertanya.
“Ayah aku berkata benda yang sama, tapi aku rasa aku belum capai apa-apa kepuasan untuk diri aku. Memang syarikat itu besar, berjaya dan dikenali, tapi semua hanya aku lakukan untuk keluarga.”
“Apa yang kau mahu selain daripada apa yang kau sudah ada?”
“Aku mahu melihat dunia, tetapi bukan sebagai wakil syarikat aku. Aku mahu duduk di rumah-rumah tumpangan, bukan hotel bertaraf lima bintang. Aku mahu melawat kawasan yang dihadiri rakyat tempatan, bukan hanya kawasan pelancongan yang dipromosi dalam katalog pelancongan.”
“Ah…” Naruko mengangguk. Dia kerap kali ke tempat-tempat biasa di negara yang dilawati kerana ia sebahagian daripada kerjanya.
“Adakah kau cuba mengatakan bahawa kau tidak suka kemewahan sekarang?”
“Aku rasa aku agak selfish kalau aku kata bahawa aku tidak suka apa yang aku ada sekarang. Kekayaan dan kemewahan? Semua itu tidak penting, aku buat ini semua kerana ayah, ibu dan Itachi. Kasih sayang mereka yang mendorong aku buat begini. Tapi ada yang hilang, kadang-kadang aku rasa tidak puas, ada sesuatu perkara lain yang aku perlukan,” kata Sasuke.
“Apa itu?” Naruko bertanya. Dia berasa pelik dengan perangai Sasuke, jejaka itu memiliki segalanya namun dia berkata bahawa segalanya bukan apa yang dia perlukan pada masa ini.
“Mencari kepuasan diri aku?” Sasuke memandang tepat pada Naruko. Naruko meletakkan sudu dan garfunya di atas tisu, bersebelahan mangkuk ramennya lalu memangku mukanya dengan kedua dua tangannya
“Apa yang kau mahu sekarang ini? Kau nak berhenti kerja?” Naruko bertanya. Dia tahu bagi dirinya dia tidak akan berhenti kerja kerana menjadi polis itu memang identiti dirinya. Namun siapa tahu dia juga akan mengambil cuti lama, kes manusia bermata merah yang tidak dapat dikesan ini sangat memenatkan juga.
“Aku mahu mengelilingi dunia,” Sasuke berkata sambil tersenyum hambar.
“Itu mengambil masa yang lama, mak kau bagi ke kalau kau bercuti lama?”
Sasuke merenung jauh ke sebuah pokok di luar Ichiraku dan berkata, “berhenti bukan pilihan pada masa sekarang… mungkin cuti tanpa gaji?”
“Hahaha. Kau buat lawakla Sasuke, itu syarikat milik kamu sekeluarga. Kau tetap akan bergaji walau kau berhenti,” Naruko kata.
“Aku tahu, jika aku bercuti adakah kau mahu ikut? Eh tunggu. Ok itu permintaan melampau, kau ada banyak kes nak selesaikan. Maafkan aku. Pastinya kau sangat sayangkan kerja kau itu kan?”
“Kau jangan suka-suka menjawab bagi pihak aku Sasuke,” Naruko memberi amaran. Dia kemudian tersenyum, “sebenarnya sudah tiga tahun aku hanya bercuti hujung minggu sahaja. Kadangkala aku tidak bercuti selama 2 ke tiga minggu kerana sesebuah kes. Tapi kes yang aku sedang uruskan ini mungkin mengambil masa sedikit. Jika kau boleh tunggu, aku mungkin boleh menjadi rakan bercuti kau.”
“Kau serius, ini bukan paksaan tau.”
“Aku tahu, kita masih rakan baik, bff. Bila kau kata kau suka aku, dan aku suka kau, bukan bermakna kita dah rasmi menjadi kekasih. Bukan bermakna aku mengikut apa permintaan kau. Aku juga perlukan cuti.”
“Ah…” Sasuke membeliakkan biji matanya dan terus mencapai tangan Naruko. Dia memegang kedua-dua tangan gadis itu dalam genggamannya, “Jadi kau suka aku sekarang, bukan dulu sahaja?”
“Aku suka kau juga, sekarang,” Naruko mengaku. Dia mengetap bibirnya kerana pengakuan itu ialah yang pertama seumpamanya untuk dirinya. Dia tidak mampu menerangkan mengapa dia menyukai Sasuke tapi mungkin kerana mereka rakan rapat, dan hatinya tatkala ini berdetak lebih kencang berbanding biasa.
“Kau pasti? Jadi apa kita buat?” tanya Sasuke.
“Teruskan kehidupan macam biasa? Aku suka kau sahaja, bukan aku ajak kau kahwin.”
Sasuke tergelak. Dia memang dah berubah sepanjang mereka tidak bertemu. Tangan Naruko ditarik salah satunya dan tiba-tiba dia mencium tangan itu. Naruko yang terkejut terus menarik kembali tangannya daripada pegangan Sasuke.
“Hey!” Naruko memukul manja Sasuke kerana terperanjat dengan tindakan itu.
“Jadi apa kita buat sekarang?” Naruko bertanya pula.
“Kau mahu terus menjadi kekasih aku?” Sasuke bertanya.
“Itu terlalu cepat, aku hanya baru berjumpa kau malam semalam setelah bertahun-tahun.”
“Jadi, kita berkenalan semula?”
“Mungkin, aku juga ke sini kerana kerja. Mungkin take it slow kot.”
“Aku setuju!” nyanyi Sasuke sambil memberikan sebuah ciuman kejutan lagi kepada gadis itu di pipinya.
“Hey, kau sesuka hati cium aku!” ujar Naruko sambil mengelap pipinya.
“Nak buat macam mana, kita saling menyukai.”
Naruko melihat ke arah kaunter Ichiraku dan melihat Ayame, anak kepada tokey Ichiraku sedang berbisik sambil sesekali melihat ke arah mereka.
“Eh, aku mahu tambah order. Cik, saya mahu dua mangkuk lagi,” jerit Naruko.
Sasuke tertawa sambil tangannya mencapai tangan Naruko untuk memicit sebentar, kemudian dia melepaskannya. Sasuke tahu dia dan Naruko baru dalam alam perkenalan lebih daripada kawan baik, dan pada usia ini dia juga tidak mahu bermain-main lagi dalam perhubungan. Mungkin Naruko ialah bakal isterinya siapa tahu. Dia memilih untuk merahsiakan perkara itu daripada keluarganya sementara mereka belum rasmi menjadi kekasih lagi.